Lelaki tembak kekasih

Selepas hubungan yang terjalin selama 12 tahun gagal, seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ke arah teman baru bekas kekasihnya dalam satu kejadian di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abd Razak Elias berkata dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit sedang menunggu teman wanitanya berusia 24 tahun di hadapan rumah.
"Ketika mangsa sedang menunggu, salah seorang daripada tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic keluar dari kenderaan terbabit lalu melepaskan tembakan menggunakan pistol angin ke arah mangsa.
"Tembakan itu mengakibatkan cermin hadapan sebelah kiri kereta mangsa pecah, bagaimanapun tembakan tidak mengenai mangsa," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata suspek kemudian mengambil kayu pemukul besbol sebelum menuju ke arah mangsa untuk memukulnya namun tidak sempat kerana ditahan anggota polis yang sedang meronda.

Suspek yang berusia 25 tahun dan dua rakannya yang masing-masing berusia 21 dan 25 tahun ditahan di lokasi kejadian, katanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek, polis menemui sepucuk pistol bebola besi bersama satu kelopak peluru bearing di tempat duduk penumpang hadapan kereta.
"Polis turut merampas satu plastik lutsinar yang mengandungi 12 biji bebola besi di dalam laci kereta serta sebatang kayu besbol daripada suspek," kata Ab Razak.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati cemburu dan rasa tidak puas hati sebagai motif kejadian.

"Hubungan cinta suspek dengan bekas teman wanitanya baru saja terputus kira-kira dua bulan yang lepas sebelum wanita terbabit menemui teman lelaki yang baru dan menjalinkan hubungan cinta," katanya.

Razak berkata tiga lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

0 comments:

Dapatkan Update Segera

Dapatkan Yang Panas Terus Ke Email Anda

Popular Posts