- Rahsia Pelajar 14 tahun hidup mewah terbongkar-
Rahsia kehidupan mewah seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun terbongkar
selepas guru sekolahnya di Kampung Raja di sini mendapati dia membawa RM800 ke
sekolah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria
berkata, pelajar tingkatan dua itu disiasat oleh guru sekolahnya selepas melihat
keadaan dia yang mencurigakan sejak belakangan ini.
Menurutnya,
apabila disoal siasat gadis tersebut mengaku membawa wang dalam jumlah yang
banyak hasil menjual pil kuda kepada bukan pelajar di luar
sekolah.
“Pihak sekolah telah menyerahkan pelajar tersebut kepada
polis dan hasil soal siasat pelajar berkenaan memberitahu dia telah menjadi
pengedar dadah sejak hampir empat bulan lalu dan memperoleh bekalan daripada
bekas teman lelakinya.
“Pelajar itu memberitahu mendapat upah
kira-kira RM100 setiap kali dapat menjual dadah yang dibekalkan dan mendakwa
dipaksa menjual dadah tersebut oleh bekas teman lelakinya,”
katanya.
Kamaruddin berkata, pada jam 4.30 petang, Ahad lalu
sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik
Daerah telah berjaya menahan teman lelaki pelajar itu di sebuah wakaf di Kampung
Air Terjun.
Menurutnya, sebelum itu, suspek berusia 19 tahun cuba
melarikan diri sambil membuang satu uncang ke tanah namun dia berjaya
diberkas.
“Pemeriksaan dalam uncang berkenaan menemui sebanyak 70
biji dipercayai pil kuda manakala pemeriksaan pada badan suspek menemui 30 biji
lagi pil kuda menjadikan keseluruhan sebanyak 100 biji serta wang RM650,”
katanya.
Kamaruddin memberitahu, kejayaan itu membawa kepada
tangkapannya abang suspek berusia 34 tahun pada jam 5.15 petang hari sama di
sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Air
Terjun.
Hasil pemeriksaan di rumah abang suspek menemui tujuh pil
kuda di dalam rumah berkenaan.
Sementara itu, ujian saringan air
kencing mendapati suspek pertama dan pelajar berkenaan negatif dadah tetapi
abang suspek pertama positif dadah pil kuda dan kedua mereka ditahan untuk
siasatan lanjut.
Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39A1 Akta
Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama manakala abangnya di bawah
Seksyen 12(1) dan Syeksen 15(1) akta yang sama.
0 comments:
Post a Comment