Ebook, Ipad akan ganti buku teks di sekolah

MAXIS Berhad (Maxis) merancang memperkenalkan tablet pendidikan di peringkat sekolah bagi menggantikan buku teks yang diguna pakai menerusi sistem pembelajaran tradisional di negara ini.

Pengurus Besar dan Ketua Inovasinya, Navin Nathan berkata, Maxis kini memulakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi merealisasikan hasrat itu, namun memaklumkan ia masih di peringkat awal.


“Kami sedang berbincang mengenai kaedah memasarkan tablet di peringkat sekolah bagi memastikan ia boleh direalisasikan mengikut kemampuan pelajar.

“Apa yang boleh saya maklumkan, kementerian berminat melaksanakan projek ini,” katanya kepada Bisnes Metro selepas pelancaran perkhidmatan e-buku bersepadu Malaysia yang ditawarkan Maxis di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau memaklumkan, Maxis berhasrat membawa masuk tablet yang berharga sekitar RM300 bagi digunakan pelajar di peringkat rendah dan menengah.
“Pada masa kini, banyak tablet berharga murah yang baik di pasaran seperti Huawei dan sebagainya yang boleh diambil kira sebagai ganti kepada buku teks,” kata Nathan.

Bagaimanapun, Nathan enggan mendedahkan jumlah tablet mampu milik yang dijangka dibawa masuk Maxis ke negara ini
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Produk Peranti, Inovasi dan Perantauan Maxis, T Kugan berkata, perkhidmatan e-buku Maxis boleh didapati di peranti sistem operasi Apple dan Android seperti iPad dan Samsung Galaxy Tab.

“Harga buku digital yang boleh dipindah turun melalui aplikasi ‘Maxis ebooks’ bermula dari RM8 hingga RM99 dalam pelbagai bahasa.
“Pembelian akan dimasukkan terus ke bil pascabayar pelanggan Maxis atau dipotong daripada akaun Hotlink mereka,” katanya.


Setakat ini, pelanggan Maxis mempunyai akses kepada 300,000 judul buku tempatan dan antarabangsa menerusi 40 kategori.
“Sejumlah 20 peratus buku ditawarkan diterbitkan penulis negara ini manakala selebihnya buku antarabangsa,” katanya.


Maxis turut merancangmemperkasakan hasil karya penulis tempatan yang tidak lagi perlu menampung kos tinggi bagi menerbitkan buku mereka.
“Jika ada penulis tempatan yang mahu memberikan karya mereka, hanya hubungi kami untuk diterbitkan,” kata Kugan.


Pindah turun aplikasi Maxis ebooks boleh didapati secara percuma dari Google Play dan App Store Apple.

0 comments:

Dapatkan Update Segera

Dapatkan Yang Panas Terus Ke Email Anda

Popular Posts